Bicara kes 3 ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram mula 22 Okt

Bicara kes 3 ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram mula 22 Okt

Perbicaraan libat ibu penyerang, Rosna Jantan, 60, serta dua beradik Farhah Sobrina Radin Imran, 24, dan Mariah Radin Imran, 20.

rosna jantan
Pada 30 Sept tahun lepas, Rosna Jantan, 60, mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes tiga ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor yang berdepan satu tuduhan berkaitan keganasan akan berlangsung di Mahkamah Tinggi selama lapan hari bermula 22 Okt ini.

Hakim Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili ibu penyerang, Rosna Jantan, 60, serta dua beradik Farhah Sobrina Radin Imran, 24, dan Mariah Radin Imran, 20.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini pada 22 hingga 24 dan 27 hingga 31 Okt 2025,” kata hakim itu pada pengurusan kes hari ini.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berkata, pihaknya akan mengemukakan 15 saksi, antaranya hakim Mahkamah Sesyen, pegawai penyiasat dan orang awam.

Pada 30 Sept tahun lepas, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, antara April 2017 hingga 17 Mei tahun lepas.

Farhah Sobrina turut mengaku tidak bersalah pada 23 Okt tahun lepas atas tuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan di lokasi dan tarikh sama, manakala pada 27 Nov 2024, Mariah mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membenarkan ketiga-ketiga kes itu dibicarakan bersama.

Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei tahun lepas, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam kejadian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.