Tingkat pemeriksaan bagi henti penyeludupan hidupan liar, Loke beritahu KLIA

Tingkat pemeriksaan bagi henti penyeludupan hidupan liar, Loke beritahu KLIA

Loke Siew Fook berkata kementerian memberi ingatan kepada operator lapangan terbang memastikan proses pemantauan yang menyeluruh.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kementerian akan memastikan mesin X-ray di KLIA dinaik taraf untuk menangani aktiviti penyeludupan hidupan liar. (Gambar Kastam)
KUALA LUMPUR:
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan meningkatkan pemeriksaan bagasi dan memperketat prosedur operasi standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membendung aktiviti penyeludupan hidupan liar.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kementerian menghantar peringatan kepada MAHB bagi memastikan operator lapangan terbang itu mempunyai proses pemantauan yang menyeluruh.

“Semua bagasi diperiksa, tetapi kenapa masih ada hidupan liar yang berjaya diseludup ke dalam pesawat?

“Kami mengarahkan MAHB untuk memantau dan memperketat SOP pemeriksaan bagasi, terutamanya bagasi kabin,” katanya selepas melancarkan inisiatif Kiosk Sentuhan Madani di KL Sentral.

Inisiatif itu menyediakan perkhidmatan bersepadu kerajaan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam. Sebanyak 30 kiosk dijangka disediakan di seluruh negara dalam tempoh 24 hingga 36 bulan yang menawarkan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan TNB.

Loke juga berkata kementerian akan memastikan mesin X-ray di lapangan terbang dinaik taraf.

Kenyataan Loke itu selepas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, minggu lalu menyeru kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa dan MAHB bagi menangani pemerdagangan hidupan liar secara haram.

Nik Nazmi, yang melawat Terminal 2 KLIA pada 7 Mac lalu untuk meninjau kawalan penyeludupan hidupan liar, berkata KLIA merupakan salah satu pintu masuk bagi aktiviti penyeludupan tersebut.

Beliau turut diberi taklimat oleh MAHB mengenai bilik pemeriksaan bagasi, ruang bagasi, dan mesin pengimbas do dewan berlepas Terminal 2 KLIA.

Bulan lalu, sebuah NGO turut mempersoalkan tahap keselamatan penerbangan Malaysia selepas beberapa cubaan menyeludup ungka ke India.

Persatuan Pemuliharaan Ungka berkata pihak berkuasa India berjaya memintas tiga percubaan menyeludup masuk monyet kecil tersebut ke negara itu tahun lalu.

Dalam kes terbaharu bulan lalu, seorang warga India ditangkap kerana menyeludup lima anak ungka Siamang di Lapangan Terbang Mumbai. Suspek dikatakan menaiki penerbangan dari Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.