Semakan bayaran konsultasi doktor swasta adil, berpatutan, kata Dzulkefly

Semakan bayaran konsultasi doktor swasta adil, berpatutan, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata kadar baharu yang bakal menggantikan kadar lama sejak 1992 itu akan diumumkan sebelum 1 Mei.

doctor
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Majlis Tindakan Nasional Mengenai Kos Sara Hidup dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan semakan bayaran konsultasi untuk pengamal perubatan am. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kadar baharu bagi bayaran konsultasi pengamal perubatan am (GP) swasta akan diumumkan sebelum 1 Mei, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, beliau menerima kelulusan untuk menyemak semula kadar bayaran itu bawah Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Struktur semasa bagi bayaran konsultasi iaitu antara RM10 hingga RM35, yang digunakan sejak 1992.

“Semakan ini akan memastikan kadar bayaran konsultasi yang adil dan berpatutan untuk GP swasta,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

“Bukan sahaja Majlis Tindakan Nasional Mengenai Kos Sara Hidup bersetuju dengan perkara ini, malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut meluluskan semakan tersebut.”

Dzulkefly berkata, hospital swasta dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia bersedia untuk memaparkan harga ubat-ubatan tetapi GP swasta hanya akan mematuhi arahan tersebut jika kadar bayaran konsultasi mereka bawah Jadual 7 Akta 586 disemak semula.

“Kami mengambil pendekatan pelbagai aspek dalam menangani inflasi perubatan, dan semakan bayaran konsultasi pengamal perubatan am swasta adalah sebahagian daripada usaha itu,” katanya.

Pada November tahun lalu, Dzulkefly memberitahu Parlimen kerajaan akan mewajibkan semua kemudahan penjagaan kesihatan swasta memaparkan harga ubat-ubatan tahun ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif menyeluruh bagi meningkatkan ketelusan dalam kos penjagaan kesihatan.

Kerajaan menetapkan inisiatif paparan harga ubat-ubatan itu bermula pada 1 Mei.

Bulan lalu, Persatuan Perubatan Malaysia menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan paparan harga wajib sehingga isu utama yang memberi kesan kepada GP swasta diselesaikan.

Presidennya, Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata dua isu utama adalah kadar bayaran konsultasi GP swasta yang tidak berubah selama 30 tahun walaupun kos operasi meningkat, serta penjualan ubat preskripsi yang tidak dikawal di farmasi dan dalam talian.

Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan bersetuju melaksanakan moratorium sementara hingga 1 Mei bagi menangani isu itu dan mempertimbangkan semakan terhadap kadar bayaran konsultasi yang sudah lama tidak dikemas kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.