Indikator Ekonomi Madani catat pencapaian positif setakat ini

Indikator Ekonomi Madani catat pencapaian positif setakat ini

Antara indikator penting positif termasuk kadar pengangguran stabil pada 3.2% dan kadar kemiskinan menurun 8%, kata Dr Zaliha Mustafa.

zaliha mustafa
Dr Zaliha Mustafa berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar ekonomi dan juga tadbir urus kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan inklusif dan berdaya tahan.
KUALA LUMPUR:
Indikator yang menentukan kejayaan kerangka Ekonomi Madani telah menunjukkan pencapaian positif setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, prestasi kerangka Ekonomi Madani boleh dinilai menerusi beberapa indikator penting termasuk pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, tahap kemiskinan, inflasi, perdagangan dan pelaburan serta kedudukan fiskal negara.

“Jadi indikator-indikator ini menunjukkan pencapaian positif setakat hari ini … kadar pengangguran stabil pada 3.2% dan kadar kemiskinan telah pun menurun 8%.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula meningkat 5.1% dan inflasi menurun 1.8% dan jumlah perdagangan meningkat 9.2%kepada RM2.9 trilion,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Senator Low Kian Chuan yang bertanya mengenai pencapaian Ekonomi Madani sehingga kini dan cabaran yang dihadapi bagi mencapai sasaran.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, antara indikator lain termasuk pengeluaran hutang baharu yang telah berkurangan sebanyak 17% manakala defisit fiskal bertambah baik.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah pelaburan diluluskan turut meningkat 14.9% kepada RM378.5 bilion, seterusnya mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar ekonomi dan juga tadbir urus kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan inklusif dan berdaya tahan.

“Kerajaan akan terus menyesuaikan strategi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan juga saksama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.