Dakwa azan tak dibenar, lelaki tempatan disiasat muat naik kandungan 3R

Dakwa azan tak dibenar, lelaki tempatan disiasat muat naik kandungan 3R

Lelaki berusia 47 tahun itu mendakwa di FB bahawa azan tidak lagi dibenarkan dilaung menerusi pembesar suara di Masjid Ayer Kuning.

soal siasat
SKMM merakam percakapan lelaki berusia 47 tahun itu dan siasatan lanjut dijalankan di Balai Polis Taiping semalam.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat seorang lelaki berusia 47 tahun disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R (kaum, agama, institusi diraja).

SKMM berkata, pihaknya telah merakam percakapan lelaki tempatan itu dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam.

“Menerusi laman aplikasi Facebook miliknya pada 9 Mac, (lelaki itu) mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini,” kata SKMM dalam kenyataan, sambil mengesahkan sebuah telefon bimbit dan kad SIM disita bagi tujuan analisis forensik.

Terdahulu, pasukan penguatkuasa SKMM menyerahkan notis kehadiran bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, (individu tersebut) boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, SKMM menasihati kepada orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan tanggungjawab dan berhemah, serta tidak memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.