Cuepacs harap bantuan khas Aidilfitri

Cuepacs harap bantuan khas Aidilfitri

Presiden Adnan Mat berharap kerajaan meneruskan tradisi bantuan itu yang dilaksana sejak beberapa tahun lalu.

Pekerja Kerajaan
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata inisiatif bantuan khas raya amat dihargai dan dinanti penjawat awam.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbang pemberian bantuan khas kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban menyambut perayaan.

Presiden Cuepacs Adnan Mat, berkata pihaknya berharap agar kerajaan meneruskan tradisi pemberian bantuan itu, yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.

“Kami memahami bahawa penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan kerajaan. Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti-nantikan oleh penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan.

“Sambutan Aidilfitri sering kali melibatkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Adnan berkata apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi juga dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain.

“Oleh itu, kami percaya bahawa kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs juga amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan itu demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.