Zahid nasihat Tengku Zafrul tak tergesa-gesa buat keputusan keluar Umno

Zahid nasihat Tengku Zafrul tak tergesa-gesa buat keputusan keluar Umno

Presiden Umno itu berkata beliau bertemu menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu minggu lalu, dan setakat ini kekal ahli parti.

Presiden Umno Zahid Hamidi (kiri) berkata beliau mengingatkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz mengenai peranan penting beliau dalam Umno.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau menasihati Tengku Zafrul Aziz supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung masa depannya dengan parti itu.

Zahid mengesahkan bertemu menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu minggu lalu dan mengingatkan Tengku Zafrul mengenai peranan penting beliau dalam Umno termasuk ketua bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi tak perlu tergesa-gesa. Dalam perkara itu beliau bersetuju dengan saya dan setakat hari ini beliau masih lagi menjadi ahli Umno.

“Saya beri pandangan sebagai presiden parti, setakat ini beliau masih menjadi ahli Umno,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Kenyataan Zahid itu menjawab spekulasi hampir dua bulan lalu yang mendakwa Tengku Zafrul merancang untuk menyertai PKR dalam usaha jelas untuk menjadi menteri besar Selangor seterusnya.

Spekulasi semakin kuat selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk Tengku Zafrul menyertai parti itu.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul berkata beliau akan memutuskan mengenai masa depannya dengan Umno selepas berbincang dengan Zahid.

PRK Ayer Kuning: 6 nama disenarai pendek

Mengenai PRK Ayer Kuning, Zahid berkata perbincangan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Perak sudah selesai dan enam nama telah disenarai pendek

“Kita akan mengumumkan calon ketika pelancaran jentera DUN Ayer Kuning. Insya-Allah seminggu sebelum penamaan calon,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.