Wartawan akan didakwa tuduhan rasuah Jumaat ini

Wartawan akan didakwa tuduhan rasuah Jumaat ini

Wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar berkata beliau yakin akan dibuktikan tidak bersalah.

B Nantha Kumar
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar disiasat SPRM atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang ejen pekerja asing. (Gambar Malaysiakini)
PETALING JAYA:
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya Jumaat ini atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang ejen warga Pakistan.

Nantha berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengahari tadi, lapor Malaysiakini.

“Saya yakin saya akan dibuktikan tidak bersalah. Ini adalah cubaan untuk membungkam saya dan menghalang saya daripada terus mendedahkan rasuah,” katanya.

Nantha ditahan SPRM pada 28 Feb sebelum dibebaskan pada 4 Mac apabila direman selama empat hari.

Beliau disiasat kerana didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang ejen pekerja asing, sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel yang mendedahkan sindiket tersebut.

Nantha menafikan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa beliau meminta rasuah RM100,000 daripada ejen pekerja asing itu, yang kemudian dikurangkan kepada RM20,000.

Wartawan itu berkata, beliau melakukan penyamaran bersama seorang pengarah imigresen negeri untuk mendedahkan sindiket pekerja asing.

Sementara itu, Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand, menegaskan Nantha tidak bersalah sehingga dibuktikan.

Menggambarkan Nantha sebagai wartawan cemerlang yang mana siasatannya menjadi berita utama dan mendapat perhatian, Anand berkata Malaysiakini masih menjalankan siasatan dalaman dengan pihak luar mengenai perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.