
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan SKMM untuk meneliti perkara itu, dengan pengawal selia akan mengambil tindakan sebaik sahaja siasatan selesai.
“SKMM belum maklumkan kepada saya tindakan yang akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas program Ramadan di sini semalam.
“Platform (media sosial) padam kandungan jika mereka bersetuju ia melanggar undang-undang atau garis panduan komuniti platform. Dalam kes ini, Facebook melihat kandungan itu sebagai melanggar undang-undang (apabila memadamnya buat kali pertama).”
Dalam hantaran di Facebook, Zamri menyifatkan penganut Hindu melakukan upacara itu ketika Thaipusam ‘macam orang kena rasuk sambil mabuk todi.
Kenyataannya itu menyusuli kontroversi membabitkan tiga penyampai radio Era FM, yang dikecam secara meluas kerana mempersendakan amalan agama yang sama.
Ahad lalu, SKMM berkata ia telah meminta pemilik Facebook, Meta, untuk memadam hantaran Facebook Zamri kerana didapati mengandungi unsur kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Bagaimanapun, SKMM berkata, keputusan Meta memadam kandungan itu dibuat oleh platform berkenaan tertakluk pada penilaiannya terhadap justifikasi yang diberikan dan garis panduan komunitinya.
Ahli Parlimen DAP RSN Rayer menuduh Zamri tidak serik serta terus menghasut dan mencetuskan ketegangan kaum dan agama di Malaysia.
Tambahnya, Zamri harus didakwa di mahkamah kerana melanggar undang-undang dengan menyiarkan semula ‘hantaran berbaur hasutan dan tidak bertanggungjawab’.
Sementara itu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, hantaran Zamri menghina penganut Hindu dan menggesa pihak berkuasa menahan pendakwah itu bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada perdana menteri dan menteri dalam negeri.
Rayer dan Pengerusi Urimai P Ramasamy juga telah meminta polis mengambil tindakan terhadap Zamri.