Selangor pelawa syarikat berkelayakan sertai RFP projek DRT

Selangor pelawa syarikat berkelayakan sertai RFP projek DRT

Syarikat berminat diberi tempoh hingga 7 April bagi menyertai permintaan untuk cadangan pelaksanaan Projek Transit Responsif Atas Permintaan.

Kerajaan Selangor sebelum ini melaksanakan projek rintis DRT dari 21 Nov 2023 hingga 31 Julai 2024 di lapan zon dalam beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan di negeri itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor mempelawa syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pelaksanaan Projek Transit Responsif Atas Permintaan (DRT).

Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) dalam kenyataan berkata syarikat berminat diberi tempoh hingga 7 April depan untuk menghantar RFP, lapor Bernama.

Satu sesi taklimat akan berlangsung pada Jumaat ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang MBI Selangor.

DRT adalah sistem pengangkutan yang menyesuaikan laluan dan jadual berdasarkan permintaan penumpang, di samping menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih fleksibel dan cekap, terutama bagi penyambungan perjalanan ‘first mile’ dan ‘last mile’.

MBI Selangor berkata perkhidmatan DRT sedia ada dijangka mengalami sedikit gangguan memandangkan insentif kepada operator sedia ada dihentikan sehingga pelantikan operator secara rasmi dibuat dalam tempoh pelaksanaan RFP.

“Pelaksanaan penuh DRT dijangka bermula pada Mei 2025,” kata kenyataan itu.

“Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk menyemak sebarang perubahan atau gangguan perkhidmatan melalui aplikasi perkhidmatan DRT sedia ada bagi mengurus rancangan perjalanan mereka.”

Kerajaan Selangor sebelum ini melaksanakan projek rintis DRT dari 21 Nov 2023 hingga 31 Julai 2024 di lapan zon dalam beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

“Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan DRT mencatatkan jumlah penggunaan (ridership) seramai 73,389 orang, sekali gus mencapai sasaran utama dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perkhidmatan ini.

“Projek ini dijangka dapat memenuhi permintaan penduduk dan pelawat di Selangor dalam merealisasikan perjalanan yang lebih cekap dan fleksibel pada harga berpatutan,” katanya.

Pada 10 Okt 2023, dilaporkan kerajaan Selangor akan memperkenalkan sistem DRT bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri, Ng Sze Han berkata sistem DRT mengutamakan pengangkutan penumpang bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti rel dan bas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.