Pandu bawah pengaruh dadah, lelaki didakwa sebabkan kematian suami isteri

Pandu bawah pengaruh dadah, lelaki didakwa sebabkan kematian suami isteri

Ng Ju Han mengaku tak salah di Mahkamah Majistret Parit Buntar sebabkan kematian suami isteri dalam kemalangan jalan raya 5 Mac lalu.

gavel
Pekerja kontrak Ng Ju Han didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar atas tuduhan memandu bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian suami isteri dalam kemalangan 5 Mac lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar di Perak atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri, 5 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Ng Ju Han, 20, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Ng yang memandu kereta jenis Honda City didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga tidak berdaya mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kematian Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah Wan Ismail, 66.

Ng didakwa melakukan kesalahan itu ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau menghala ke Tanjung Piandang, Kerian sekitar jam 7.50 pagi pada 5 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 tetapi tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim memohon jaminan minimum dikenakan.

Ruhan berkata Ng yang bekerja sebagai pekerja kontrak mempunyai pendapatan sekitar RM2,200 sebulan selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan dekat Kuala Kurau pada minggu lalu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.