Majikan silap rayu, anugerah RM95,000 kepada dua pemandu lori dikembali

Majikan silap rayu, anugerah RM95,000 kepada dua pemandu lori dikembali

Majikan yang memberhentikan kedua-dua pemandu lori itu sepatutnya fail semakan kehakiman, bukan rayuan, menurut Mahkamah Rayuan.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan berkata, SG Concrete Products menggunakan proses undang-undang yang salah untuk mencabar anugerah diperoleh dua bekas pekerjanya yang dipecat secara salah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara mengembalikan anugerah Mahkamah Perusahaan kepada dua bekas pemandu lori yang dibuang kerja secara tidak sah, selepas membenarkan bantahan awal dibangkitkan bagi pihak mereka.

Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata majikan terbabit, SG Concrete Products Sdn Bhd, sepatutnya memohon semakan kehakiman dalam kedua-dua kes, bukan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membenarkan rayuan majikan tersebut dan seterusnya mengetepikan anugerah Mahkamah Perusahaan.

“Atas dasar ini, kita dapati rayuan (oleh pekerja di Mahkamah Rayuan) patut dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan. Anugerah Mahkamah Perusahaan dikembalikan,” kata Ahmad Fairuz dalam penghakiman setebal 14 muka surat itu.

Akibatnya, hakim berkata, panel mahkamah, yang turut dianggotai Hakim Supang Lian dan Lim Chong Fong, berpandangan merit rayuan itu tidak perlu dipertimbangkan.

Perayu Rosli Saad dan Rohlizan Rahaman, melalui peguam Ravi Nekoo, membangkitkan bantahan awal terhadap cara perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Nov 2022, Mahkamah Perusahaan menganugerahkan RM56,400 kepada Rosli dan RM38,400 kepada Rohlizan sebagai pampasan ganti pekerjaan mereka. Kedua-dua lelaki itu diberhentikan kerja kerana tidak hadir bekerja selama empat hari berturut-turut tanpa alasan munasabah, melanggar Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955.

Mereka kemudiannya diwakili peguam berbeza mengemukakan bantahan serupa di Mahkamah Tinggi, namun ditolak.

Bagaimanapun, Ahmad Fairuz berkata, Mahkamah Tinggi tersilap menolak bantahan itu.

Beliau berkata, majikan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman, bukannya rayuan kepada Mahkamah Tinggi, untuk mencabar dua anugerah itu.

Rosli dan Rohlizan diberhentikan kerja pada 22 Okt 2020, dan memfailkan representasi dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan sebelum 31 Dis tahun sama, ketika undang-undang yang memperuntukkan proses semakan kehakiman masih berkuat kuasa.

Proses rayuan itu diperkenalkan melalui Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 yang berkuat kuasa pada 1 Jan tahun berikutnya.

Menteri sumber manusia merujuk representasi kedua-dua lelaki tersebut ke Mahkamah Perusahaan untuk adjudikasi pada 24 April 2021.

“Di sinilah penggubal akta itu dengan bijaksana memperkenalkan Seksyen 35 untuk menangani masalah sebegini,” katanya.

Seksyen tersebut memperuntukkan, jika sebarang representasi untuk pengembalian semula pekerjaan dibuat sebelum akta yang dipinda berkuat kuasa, ia hendaklah diteruskan bawah undang-undang yang berkuat kuasa sebelum pindaan.

Farah Irina Khairi Izwan mewakili majikan, yang merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.