Kes Era: Dakwaan kompaun sebabkan Islam ditindas fitnah jahat

Kes Era: Dakwaan kompaun sebabkan Islam ditindas fitnah jahat

Menteri komunikasi berkata ada pihak memutarbelitkan fakta.

era apologize
Kompaun RM250,000 dikenakan dalam kes penyampai Era FM mengambil kira bahawa Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah sebuah syarikat, bukan individu.
PUTRAJAYA:
Fahmi Fadzil berkata tuduhan konon kompaun dikenakan ke atas syarikat pemegang lesen dalam kes penyampai radio Era FM sebagai berat sebelah sehingga menyebabkan Islam ditindas adalah fitnah yang berniat jahat.

Menteri komunikasi berkata, hukuman terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd itu dengan kes pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap sudah dijelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Tetapi ada (pihak) memutarbelitkan fakta kononnya hukuman yang dikenakan berat sebelah sehingga menyebabkan agama Islam ditindas.

“Ini fitnah yang memang berniat jahat dan lari daripada realiti atau fakta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Terdahulu, SKMM menjelaskan perbezaan kompaun dikenakan antara kes pengendali stesen radio itu dengan Harith dan Cecelia.

Menurut SKMM, kompaun RM250,000 dikenakan terhadap stesen radio Era FM bawah Maestra Broadcast Sdn Bhd iaitu selepas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibuat pada 11 Feb lalu.

Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda RM500,000 atau kedua-duanya.

SKMM berkata, bagi kes Harith dan Cecelia yang memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Jan lalu dikenakan kompaun RM10,000 sebelum pindaan dibuat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata bagi isu KK Mart siasatan dilakukan bawah Kanun Keseksaan dan denda RM60,000 dikenakan melalui keputusan mahkamah.

Semalam, Fahmi berkata kompaun RM250,000 dikenakan terhadap pengendali Era FM selepas tersebarnya video kontroversi mempersendakan agama Hindu mengambil kira bahawa Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah sebuah syarikat, bukan individu.

Sebelum ini, Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi berkait perayaan agama Hindu.

Harith pula didakwa memuat naik hantaran di Facebooknya dengan sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ‘hamsap’ kopi berharga RM5.50.

Manakala, Cecelia didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’ baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.