
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya berkata SPRM telah melancarkan Op Outlander dan Op Birth semalam membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Bagi Op Outlander, suspek utama iaitu penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu, katanya.
“Dipercayai kegiatan ini turut didalangi pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin yang berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.
“Untuk Op Birth pula, tiga suspek utama disyaki sebagai ejen melakukan perbuatan tersebut dengan menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam.
“Ia bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu,” katanya dalam kenyataan.
Dalam operasi itu, Khusairi berkata pihaknya turut menahan enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan, selain seorang pengamal undang-undang dipercayai orang tengah di antara ejen dan pemohon.
“Seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam semalam dan kesemua dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok bagi tujuan permohonan reman pagi ini.
“Bagi dua suspek termasuk bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM apabila selesai dirakam percakapan.
“Serbuan dilakukan semalam berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata beliau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.