Woo Kah Leong ketua Pemuda PH baharu

Woo Kah Leong ketua Pemuda PH baharu

Adun Pasir Bedamar itu menggantikan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Woo Kah Leong
Pelantikan Adun DAP dari Pasir Bedamar Woo Kah Leong disahkan dalam kenyataan oleh Pemuda Pakatan Harapan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Pasir Bedamar Woo Kah Leong sebulat suara dipilih ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) baharu susulan mesyuarat hari ini dihadiri semua sayap Pemuda komponen itu.

Woo, yang juga ketua Pemuda DAP, menggantikan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii. Pelantikannya disahkan dalam kenyataan oleh sayap Pemuda PH.

“Pemuda PH ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan ketua Pemuda PH, Dr Kelvin Yii atas kepimpinan, jasa, dan bakti beliau sepanjang menerajui sayap ini,” katanya.

Dengan kepimpinan baharu ini, Pemuda PH komited meneruskan agenda reformasi dan bertekad memperjuangkan hak dan kebajikan anak muda demi memastikan kerajaan perpaduan dan PH terus mendukung suara anak muda dan kekal pilihan utama generasi muda.

Pemuda PH juga menekankan keutamaan segera, termasuk menggembleng seluruh tenaga bagi memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan pada PRK Ayer Kuning, Perak.

“Menjelang PRN Sabah yang akan datang, Pemuda PH akan memperkukuhkan jentera sayap Pemuda parti masing-masing dengan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan demi membantu calon-calon Pakatan Harapan untuk meraih sokongan generasi muda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.