
Baru-baru ini, seramai 50 anak-anak yatim dan asnaf sekitar Bukit Gelugor, Pulau Pinang diraikan dengan aktiviti membeli baju raya selain majlis berbuka puasa turut diadakan bersama Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah (PKNA).
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata selain dua aktiviti itu, pihaknya juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,400.00 kepada 24 anak-anak yatim dan asnaf.
“Setiap daripada mereka menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime,” katanya yang turut memberikan sumbangan peribadi beg sekolah dan kuih raya kepada mereka.
Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad, Pengasas dan Pengurus PKNA, Rohani Hussainsa serta Pengarah PTPTN negeri, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Norliza berkata pihaknya sentiasa melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada golongan memerlukan.
“Aktiviti membeli baju raya dan berbuka puasa ini merupakan inisiatif kami dalam memberi peluang kepada anak yatim dan golongan asnaf untuk merasai kemeriahan Ramadan bersama-sama.
“Kita berharap melalui program CSR ini lebih ramai tampil berkolaborasi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.