
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa daerah minggu lalu susulan risikan yang dibuat ke atas individu mempromosikan dakyah kongsi gelap di media sosial itu.
Menurutnya, tangkapan membabitkan seorang di IPD Klang Selatan, dua di IPD Kajang, seorang di IPD Ampang, seorang di IPD Klang Utara dan seorang di IPD Gombak.
“Hasil siasatan dan tangkapan yang dilakukan mendapati tiga orang tiada rekod jenayah, manakala tangkapan di IPD Kajang mempunyai dua rekod jenayah, tangkapan di IPD Klang Utara mempunyai tiga rekod jenayah dan tangkapan di IPD Gombak mempunyai 12 rekod jenayah serta satu rekod dadah.
“Sebanyak enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menyiarkan dakyah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menganggotai pertubuhan haram,” katanya, menurut Harian Metro.
Hussien berkata, tangkapan di Kajang sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala lima tangkapan lagi masih dalam siasatan.
“Tindakan mengesan individu lain yang mempromosikan kongsi gelap akan diteruskan dan pelaksanaan mekanisma operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di peringkat kontinjen.
“Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, operasi ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, yang mana terdapat individu yang ditangkap dalam operasi ini tidak mengetahui tindakannya mempromosikan kongsi gelap sebagai satu kesalahan dan boleh ditahan,” katanya.