Elak kempen provokasi agama di Ayer Kuning, parti politik diberitahu

Elak kempen provokasi agama di Ayer Kuning, parti politik diberitahu

Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata fitnah seperti ada masjid dilarang azan guna pembesar suara tidak sepatutnya berlaku.

perang bendera
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April.
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menasihatkan parti bertanding PRK Ayer Kuning tidak melakukan provokasi menggunakan sentimen keagamaan, merujuk penyebaran di media sosial mendakwa ada masjid tidak boleh melaungkan azan menggunakan pembesar suara.

Pengarahnya Harith Fadzilah Abdul Halim berkata penyebaran itu disifatkan fitnah kerana siasatan mendapati tiada arahan seumpama dikeluarkan di Perak sebaliknya pembesar suara di masjid terbabit sedang dibaiki.

“Nasihat saya kepada semua pihak termasuk parti-parti politik tak kira belah mana, janganlah menggunakan agama untuk meraih undi…tak baik guna kaedah macam itu.

“Bertandinglah secara sihat dan sayang menyayangi antara satu sama lain,” katanya kepada FMT sambil mengingatkan parti politik tidak berkempen di masjid dan surau.

“Ini bukan ketika PRK sahaja tetapi setiap masa.”

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Akhbarnya Tunku Nashrul Abaidah mengingatkan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan naratif ‘jahat’ yang muncul setiap kali tiba musim pilihan raya.

Beliau menyorot perhatian kepada dakwaan di media sosial konon sebuah ‘masjid air kuning’ di Perak sudah tidak boleh melaungkan azan menggunakan pembesar suara.

Untuk rekod, masjid itu dikenali Masjid Ayer Kuning terletak di Taiping bukan bawah DUN Ayer Kuning di bawah Parlimen Tapah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April yang diadakan berikutan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.