Lesen Era FM tak digantung, pengendali dikompaun RM250,000

Lesen Era FM tak digantung, pengendali dikompaun RM250,000

Keputusan itu diambil SKMM selepas menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd.

era screengrab
Terdahulu, Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi berkait perayaan agama Hindu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak menggantung lesen radio Era FM selepas menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd sebaliknya syarikat pengendali stesen itu dikompaun RM250,000.

SKMM berkata, pihaknya turut membuat pertimbangan terhadap tindakan susulan dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen membabitkan permohonan maaf serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi bawah lesen sama.

Katanya, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun bagi kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Feb 2025) iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 7 Mac lalu, SKMM menyerahkan notis niat bagi penggantungan lesen dan memberikan tempoh 30 hari kepada pemegang lesen untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Terdahulu, Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi berkait perayaan agama Hindu.

Ketiga-tiganya memohon maaf atas kejadian itu.

Video yang telah diturunkan daripada platform media sosial stesen itu memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Sementara itu, SKMM berkata pihaknya memandang serius tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang- undang negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.