Ismanira tukar tudung dalam tempoh 20 minit pada hari Zayn Rayyan hilang, mahkamah diberitahu

Ismanira tukar tudung dalam tempoh 20 minit pada hari Zayn Rayyan hilang, mahkamah diberitahu

Suri rumah, Rashidah Rajali berkata dia ada maklum perkara itu kepada polis dalam siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.

Ismanira Abdul Manaf Zaim Ikhwan Zahari
Ismanira Abdul Manaf dan suami, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa kerana pengabaian anak tahun lalu.
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa dia ada memaklumkan kepada polis ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin memakai dua tudung berbeza dalam tempoh 20 minit, pada hari kanak-kanak autisme itu dilapor hilang, dua tahun lalu.

Rashidah Rajali, 37, yang menetap di tingkat sama dengan keluarga Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan dalam perbicaraan pengabaian anak ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahar.

Haresh ada mencadangkan bahawa Rashidah tidak memaklumkan kepada polis perubahan pakaian dikenakan Ismanira.

Rashidah: Tidak, saya ada beritahu polis berkenaan perkara itu ketika penyiasatan.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, dia dipanggil polis sekurang-kurangnya dua kali, tetapi tidak dapat mengingati tarikhnya.

Dalam pemeriksaan balas pada 18 Feb, Rashidah berkata dia terserempak dengan Ismanira sekitar 12.15 tengah hari pada 5 Dis 2023, ketika sedang turun ke tingkat bawah untuk menghantar anak sulungnya ke sekolah.

Rashidah berkata, Ismanira memakai tudung hitam, blaus putih, selain sama ada seluar palazzo hitam atau skirt.

Dia berkata, selepas menghantar anaknya ke sekolah, dia kembali ke rumah sekitar 12.35 tengah hari dan ternampak Ismanira, yang menuruni tangga ke tingkat satu.

Rashidah berkata, dia mengingati Ismanira mengenakan tudung bercorak rona gelap.

Pada 5 Feb, bekas pegawai penyiasat IPD Petaling Jaya, Nina Syamimi Syamsuddin, 33, memberitahu mahkamah bahawa ketika Ismanira dirakam keterangan, beliau menyatakan Zayn Rayyan enggan masuk ke rumah pada 5 Dis 2023, kerana ingin bermain buaian.

Nina dalam keterangan berkata Ismanira menyatakan kepadanya dia sedang menaiki tangga dan anaknya itu berjalan di belakangnya pada hari berkenaan.

Ismanira, ketika memberi keterangan, berkata dia memegang beg membeli-belah di kedua-dua belah tangan ketika kejadian. Apabila Ismanira menyedari dia tidak dapat mendengar tapak kaki anaknya, dia meletakkan beg di atas tangga, berpusing, dan mendapati Zayn Rayyan hilang.

Nina, saksi pendakwaan keempat, menyatakan Ismanira mencari anaknya sekitar Blok R sehingga 1 petang sebelum menghubungi suaminya memaklumkan anak mereka telah hilang.

Dalam pemeriksaan balas lanjut oleh Haresh, Rashidah berkata dia secara sukarela memaklumkan semua maklumat kepada pemberita, termasuk si ibu kelihatan mencari seseorang sejurus anaknya hilang.

“Tetapi, saya tidak maklum berkenaan tudung kerana tidak ditanya dalam temu ramah,” katanya.

Saksi berkenaan tidak bersetuju dengan Haresh bahawa ingatan manusia semakin hilang dari masa ke masa.

Haresh: Dua minggu lalu, penterjemah membantu anda sekurang-kurangnya tiga kali merujuk kepada dokumen. Adakah anda ingat warga baju dipakai?

Rashidah: Saya tidak ingat.

Pada 13 Jun, Ismanira dan Zaim, kedua-dua berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.

Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.