
Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat agung tahunan 31 cabang parti di negeri itu, yang tamat pada Ahad.
“Semua cabang di Sarawak mengusulkan agar pencalonan Anwar Ibrahim sebagai calon presiden parti tidak dicabar kali ini agar beliau menang tanpa bertanding dan boleh menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut perlembagaan PKR, penggal akan datang adalah yang terakhir bagi Anwar sebagai presiden jika beliau mengekalkan jawatan itu.
Abun yang juga ketua cabang Hulu Rajang berkata, pemilihan tahun ini ‘dijangka meriah’, dengan ramai ahli akan menawarkan diri bertanding jawatan kepimpinan pada peringkat cabang dan pusat.
Beliau mengingatkan mereka yang bertanding supaya mematuhi etika dan disiplin serta mengelak fitnah dan serangan peribadi terhadap calon lain.
Pemilihan untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP) peringkat kebangsaan serta sayap Wanita dan Pemuda akan berlangsung pada 24 Mei.
Dilaporkan pada Ahad bahawa cabang PKR Sabah menyokong usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan.
Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu penting bagi mengelakkan konflik dalaman dan memastikan parti itu terus kukuh dalam menghadapi cabaran masa depan.
Sebanyak 24 cabang telah bermesyuarat, kecuali Beaufort yang sedang menghadapi banjir. Pemimpin cabang mencadangkan usul bersetuju agar kedua-dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Shamsul Iskandar Akin sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat kemungkinan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
Anwar bagaimanapun berkata, beliau akan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.