
Bercakap kepada FMT, sumber itu berkata dalam pertemuan dengan Hadi bulan lalu, beliau tidak memberi sebarang bayangan mahu melepaskan jawatan presiden disandang sejak 2002 susulan kematian Fadzil Noor.
“Beliau masih semangat untuk kemudi PAS, tak nampak tanda-tanda mahu berundur walaupun ada suara-suara nakal itu.
“Bila berbicara bersamanya, pandangan Tok Guru masih tajam dan berbisa…ingatan beliau tentang sejarah seperti tarikh penting serta angka-angka pilihan raya semua di mindanya sahaja,” katanya merujuk panggilan kepada Hadi.
Media sebelum ini melaporkan ada gesaan daripada segelintir ahli PAS supaya Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengemudi parti terutama dalam berdepan cabaran PRU16.
Keadaan itu menimbulkan spekulasi jawatan presiden dan timbalan bakal dipertandingkan buat kali pertama selepas kali terakhir pada 2015 menyaksikan Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man dipilih menduduki dua jawatan tertinggi parti.
Tuan Ibrahim dalam temu bual dengan FMT bulan lalu mengesahkan beliau akan menolak pencalonan sebagai presiden, malah belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan kedudukan nombor dua parti kerana ingin melihat pencalonan terlebih dahulu.
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, pula dilaporkan berkata beliau tidak pernah terfikir bertanding jawatan presiden kerana merasakan dirinya tidak layak memikul tanggungjawab seberat itu.
Samsuri atau dikenali Dr Sam disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri daripada PAS.
Mengulas lanjut, sumber berkata pertandingan bagi jawatan timbalan presiden jika berlaku mungkin menyebabkan situasi pertembungan kumpulan proprofesional dan ulama berulang.
Menurutnya, kumpulan proulama akan menyokong Naib Presiden Mohd Amar Abdullah bagi menduduki jawatan itu jika Tuan Ibrahim memutuskan tidak mahu pertahankan kedudukannya.
“Mereka akan pastikan kumpulan ulama kekal di kerusi nombor satu dan dua, sanggup lawan sesiapa sahaja termasuk Samsuri jika menteri besar Terengganu itu terima pencalonan tanding timbalan,” katanya.