
Hakim Mahkamah Tinggi, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, memerintahkan plaintif membayar kos RM8,000 kepada defendan.
Mahkamah juga memberikan mereka kebebasan untuk memfailkan semula saman itu.
Sebelum itu, peguam plaintif, Zainuddin Abu Bakar, memberitahu mahkamah bahawa mereka memutuskan untuk menarik balik kes itu bagi menilai semula strategi perundangan sebelum mengisi semula.
“Kami mendapati bahawa apa yang terbaik untuk kami adalah menarik balik saman ini, memfailkan semula, dan menilai semua senarai defendan supaya kes dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
Dalam keputusannya, hakim berkata beliau memberitahu plaintif dalam pengurusan kes sebelum ini supaya pertimbang memfailkan semula kes ini kerana kekurangan bukti saintifik — kelemahan utama dalam kes mereka.
“Anda perlu memastikan semua maklumat betul untuk membolehkan anda memulakan tindakan seperti ini. Oleh itu, ia perlu berdasarkan bukti saintifik.
“Anda perlu kaji beberapa perkara untuk mengendalikan kes ini kerana kesannya besar. Maka anda perlukan kes yang kukuh,” katanya.
Hakim turut menggesa pihak terbabit menilai fakta dan keterangan secara menyeluruh sebelum memulakan sebarang tindakan undang-undang, terutama dalam kes sebegini besar.
Zainuddin kemudian beritahu FMT bahawa tiada tarikh ditetapkan untuk memfailkan semula saman itu, kerana para peguam sedang menunggu arahan lanjut daripada anak guam mereka.
Beliau juga mengesahkan empat daripada lapan plaintif asal telah menarik diri daripada saman ini.
Pernyataan tuntutan asal turut menamakan perdana menteri terdahulu iaitu Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sebagai defendan, selain Kementerian Kesihatan, kerajaan, dan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Defendan lain termasuk menteri kesihatan sekarang dan terdahulu iaitu Dzulkefly Ahmad, Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin; menteri dalam negeri sekarang dan terdahulu iaitu Saifuddin Nasution Ismail dan Hamzah Zainudin; dan menteri pendidikan sekarang dan terdahulu iaitu Fadhlina Sidek dan Radzi Jidin.
Turut dinamakan bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, serta ketua polis negara sekarang dan terdahulu.
Plaintif mendakwa bahawa mereka terkesan teruk oleh dasar kesihatan awam yang ‘cuai’ dan ‘salah’, yang mewajibkan vaksinasi pada kemuncak pandemik Covid-19 empat tahun lalu.
Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan, antara lain, bahawa virus Covid-19 adalah ‘palsu’ dan ‘buatan manusia’, dan bahawa penggunaan ubat seperti Ivermectin dan Colchicine tanpa vaksin terlebih dahulu harus dibenarkan.
Mereka juga mahu mahkamah membatalkan semua program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.