Tetap syarat tinggi bangun semula bangunan lama, kata pakar

Tetap syarat tinggi bangun semula bangunan lama, kata pakar

Mereka berkata pembangunan semula yang pramatang mampu jejas pemilik rumah secara tidak perlu selain mengganggu komuniti.

Pengerusi Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari Tan Booi Charn berkata meningkatkan ambang persetujuan dengan ketara akan memastikan hampir semua pemilik rumah terjejas bersetuju.
PETALING JAYA:
Cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) disifatkan langkah penting menghidupkan semula kawasan bandar semakin usang, mencetuskan perdebatan hangat sama ada ia mengutamakan pemaju dengan mengorbankan pemilik rumah.

Draf cadangan meliputi bangunan berusia lebih 30 tahun layak bagi dibangun semula, dianggap nilai ambang pramatang.

Pengerusi Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari, Tan Booi Charn, berkata pembangunan semula yang pramatang boleh menjejaskan pemilik rumah secara tidak perlu dan mengganggu komuniti.

“Perumahan yang layak untuk pembangunan semula sepatutnya berusia lebih 40 hingga 50 tahun, bergantung kepada integriti struktur,” katanya kepada FMT.

Penolong profesor kanan dari Universiti Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Tham Kuen Wei, menyarankan nilai ambang usia melebihi 60 tahun dan ke atas dipertimbang.

“Bukan semua bangunan lama rosot nilainya dari masa ke masa. Bangunan bersejarah tertentu atau yang dibina menggunakan bahan serta reka bentuk klasik, sebenarnya mempunyai nilai,” katanya.

Tham berkata, menetapkan nilai ambang terlalu rendah akan menyebabkan ketidakstabilan pasaran hartanah, menjurus kepada lebihan bekalan hartanah baharu dan kenaikan harga tidak mampan.

Persetujuan pemilik

Draf akta berkenaan juga cadang mengurangkan nilai ambang persetujuan bagi pembangunan semula en-bloc kepada 75% bagi bangunan bawah 30 tahun dan 80% bagi bangunan lebih berusia.

“Mengapa tidak buat nilai ambang persetujuan 95% atau 97% bagi mencerminkan niat mendapat hampir 100% keizinan daripada pemilik?” kata Tan.

Beliau berkata, meningkatkan ambang persetujuan dengan ketara akan memastikan hampir semua pemilik rumah terjejas bersetuju, sekali gus menghormati Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13, menyatakan “tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang”.

Tham mencadangkan pendekatan berperingkat kepada ambang persetujuan – 100% bagi bangunan di bawah usia 60 tahun, 75%/80% bagi bangunan melebihi 60 tahun, dan 51% bagi projek perumahan terbengkalai.

Pampasan tidak jelas

Tan juga membangkitkan kebimbangan kurang kejelasan berkait pampasan bagi pemilik rumah terjejas, memandangkan cadangan akta menggariskan mekanisme pampasan tetapi tidak menyatakan cara ia dikira.

“Draf tidak menyatakan secara jelas hak dan manfaat kepada pemilik rumah, terutama kaedah pampasan diberikan. Pengiraan mestilah telus dan adil kepada pihak pemaju dan pemilik, dan bukan hanya memihak kepada pemaju,” kata Tan.

Tham berkata, pampasan tidak sepatutnya hanya berdasarkan nilai semasa bangunan, dengan pemilik rumah perlu menerima bahagian keuntungan pembangunan semula.

“Andai pemilik rumah menolak pampasan berupa barangan, pampasan kewangan mestilah benar-benar saksama untuk memastikan keadilan,” katanya.

Tham juga berkata pemilik rumah berhak melantik penilai bebas dan penasihat undang-undang, bukannya profesional dilantik pemaju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.