Terpedaya pelaburan kripto tak wujud, peniaga rugi RM300,000

Terpedaya pelaburan kripto tak wujud, peniaga rugi RM300,000

Mangsa berusia 63 tahun sebelum itu terlihat laman sesawang kripto di media sosial.

Mangsa memasukkan wang pelaburan sebanyak 10 transaksi kepada sembilan akaun berbeza dan hanya mendapat sekali sahaja pulangan, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga di Kuantan terpaksa berputih mata apabila kerugian RM300,378 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku apabila lelaki berusia 63 tahun itu tertarik dengan laman sesawang kripto yang dilihat di media sosial pada November lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya melayari satu laman sesawang dan mendaftar akaun pengguna.

“Mangsa memasukkan wang pelaburan sebanyak 10 transaksi kepada sembilan akaun berbeza dan hanya pernah mendapat pulangan sekali saja berjumlah RM20,698 dengan transaksi pertama pada 25 Nov 2024 hingga 5 Februari lalu.

“Selepas mendapat pulangan pada 1 Januari lalu, mangsa masih lagi memasukkan wang pelaburan dan melihat wang pelaburan bertambah tetap tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan.

“Mangsa juga diminta memasukkan lagi wang pelaburan jika hendak mengeluarkan wang keuntungan sebelum mangsa berasa ditipu.

“Jumlah kerugian mangsa berjumlah RM300,378. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis semalam.

Berikutan kejadian itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan sebelum menyertai pelaburan dalam talian bagi mengelakkan ditipu.

“Jangan mudah terpengarah dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

“Sekiranya menerima panggilan meragukan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan polis atau agensi berkaitan. Diingatkan juga agar membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.