‘Terima kasih PM dan TPM, moga ada pengakhiran baik’, kata Syed Saddiq

‘Terima kasih PM dan TPM, moga ada pengakhiran baik’, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau telah sertai rundingan dengan kerajaan bagi mendapat peruntukan wakil rakyat.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, satu-satunya wakil rakyat dari blok luar kerajaan yang berunding dengan pemerintah bagi mendapat peruntukan Ahli Parlimen.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap ada pengakhiran baik dalam penantiannya mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan memerlukan di kawasannya.

Bercakap kepada FMT, bekas menteri belia dan sukan itu menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kelmarin yang draf perjanjian di antara beliau dan kerajaan untuk menerima dana wakil rakyat kini di fasa akhir.

“Saya dari awal terima cadangan berunding demi mendapatkan peruntukan untuk menjaga kebajikan warga Muar tanpa mengira agama dan kaum terutama golongan memerlukan.

“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan TPM, moga ada pengakhiran baik,” kata pengasas parti Muda itu.

Semalam, Fadillah dilaporkan berkata Syed Saddiq secara prinsip bersetuju dengan beberapa syarat ditetapkan dan dijangka menerima peruntukan untuk kawasannya selepas draf itu dimuktamadkan.

Baru-baru ini, ketika sidang Dewan Rakyat, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya satu jenama fesyen bagi mendapatkan dana untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Beliau berkata, ia susulan usahanya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan belum berhasil selepas Perikatan Nasional (PN) yang mengetuai blok pembangkang mengumumkan ia menolak draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pada September tahun lalu.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dipetik berkata PN memberi empat sebab asas penolakan yang antaranya didakwa bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.