PRK Ayer Kuning: BN umum calon seminggu sebelum hari penamaan

PRK Ayer Kuning: BN umum calon seminggu sebelum hari penamaan

Zahid Hamidi berkata calon akan dipilih daripada enam nama melibatkan ahli Umno Tapah.

zahid
Pengerusi BN Zahid Hamidi kata berharap dapat mengulangi kejayaan gabungan itu pada PRK DUN Ayer Kuning akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon seminggu sebelum tarikh penamaan calon menjelang PRK Ayer Kuning, April ini.

Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata calon berkenaan daripada enam senarai nama dikemukakan bahagian dan perhubungan negeri melibatkan ahli Umno Tapah.

“Saya mengharapkan calon ini memenuhi kriteria penduduk-penduduk dan pengundi di Ayer Kuning dan Tapah amnya supaya kita dapat mengulangi, insya-Allah, kejayaan di beberapa PRK sebelum ini,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak 2026, di Bagan Datuk.

Ditanya berhubung koordinasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk PRK, Zahid berkata kepimpinan BN-PH termasuk parti komponen mempunyai persefahaman.

“M Saravanan (timbalan presiden MIC) dan pemimpin MCA negeri telah menghubungi saya dan saya telah berbincang dengan jawatankuasa ‘war room’ di peringkat nasional mengenai gerak kerja yang telah dijalankan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb.

Ishsam memenangi DUN berkenaan dalam PRU15 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.