Penyelesaian dicapai dalam kes anak lahir luar negara

Penyelesaian dicapai dalam kes anak lahir luar negara

Mahkamah Persekutuan mengesahkan penyelesaian membolehkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah berhak memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran.

istana kehakiman
Mahkamah Persekutuan mengesahkan penyelesaian membolehkan kanak-kanak dilahirkan oleh pemohon di luar negara berhak mendapat kerakyatan bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
PUTRAJAYA:
Rayuan masyarakat sivil dan enam ibu warga Malaysia berhubung kerakyatan anak mereka yang dilahirkan di luar negara telah diselesaikan tanpa dicabar di Mahkamah Persekutuan.

Syarat perintah penyelesaian, yang dipersetujui antara perayu dan kerajaan, telah diperakui oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang dalam panel mendengar rayuan itu ialah Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah.

Peguam Gurdial Singh Nijar, yang mewakili perayu, memaklumkan kepada panel hakim bahawa pihak-pihak telah bersetuju untuk mengekalkan keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur empat tahun lalu.

Peguam itu berkata kanak-kanak berkenaan, yang kesemuanya dilahirkan sebelum pindaan perlembagaan tahun lepas dan masih berumur 18 tahun atau lebih muda, berhak memohon kewarganegaraan menurut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu membolehkan seseorang di bawah umur 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang ibu atau bapa adalah warganegara.

“Kita telah mencapai syarat yang dipersetujui untuk menyelesaikan perkara ini dan rayuan itu ditarik balik,” kata Gurdial.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horn Bin mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman penyelesaian tanpa perintah mengenai kos.

Pada 10 Dis tahun lepas, hakim tertinggi menangguhkan rayuan bagi memberi peluang kepada kerajaan dan pihak yang terkilan menyelesaikan pertikaian itu secara baik.

Family Frontiers dan ibu telah datang ke mahkamah tertinggi untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan 2022 dan mengembalikan semula perintah Mahkamah Tinggi.

Pada pendengaran sebelum ini, Gurdial memberitahu mahkamah bahawa pindaan kepada undang-undang kewarganegaraan yang diluluskan oleh Parlimen Oktober lalu tidak akan menjejaskan kes anak guamnya, kerana ia hanya terpakai secara prospektif.

Ibu-ibu itu memenangi kes mereka selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Salah satu persoalan dibangkitkan di hadapan mahkamah tertinggi ialah sama ada istilah ‘bapa’ perlu dibaca untuk memasukkan ibu berikutan pindaan 2001 kepada Perkara 8(2) perlembagaan, yang melarang diskriminasi jantina.

Di luar mahkamah, Gurdial, dibantu Abraham Au, berkata mereka yang berumur di bawah 18 tahun boleh memohon kewarganegaraan tetapi kelulusan itu tertakluk kepada pemenuhan syarat di bawah Perkara 26.

Beliau juga menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian kerakyatan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

“Permohonan kumpulan ini tidak dapat diproses kerana kelewatan dan halangan birokrasi,” katanya.

Peguam itu berkata, anak guamnya mendapatkan remedi undang-undang lima tahun lalu berikutan pindaan perlembagaan 2001 untuk menghapuskan diskriminasi berasaskan jantina.

“Ia adalah satu perjalanan yang panjang dan sukar dan akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata perintah hari ini memberikan ibu Malaysia kelegaan dan keselamatan yang amat diperlukan, yang tidak ditangani oleh pindaan perlembagaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan masyarakat sivil, wakil rakyat dan orang ramai kerana menyokong perjuangan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.