
Ketua Penerangan Mohd Noor Ahmad juga menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang dilapor berkata DAP tidak pernah dan tidak akan dikuasai Umno sebagai ‘aneh’.
Noor berkata hala tuju DAP sempena musim pemilihan bukan urusannya, namun beliau terdorong untuk membuat kenyataan susulan laporan yang menyebut partinya.
“Yang menentukan hala tuju DAP ketika ini adalah akar umbi parti itu dan bukan Umno pun seperti didakwa Lim Guan Eng,” kata Noor.
Malaysiakini pada 9 Mac melaporkan Lim sebagai berkata sama ada masa beliau telah berlalu atau tidak akan ditentukan oleh ahli DAP dan bukan oleh presiden Umno.
Menurut laporan itu, Lim merujuk kepada kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi awal tahun ini, yang dilapor mendakwa era Lim telah berlalu dan menggesa beliau beri kepercayaan kepada pelapis untuk memimpin DAP.
Komen Zahid itu reaksi kepada kenyataannya yang mengkritik Umno kerana merancang menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini berada di Penjara Kajang.
Pemilihan CEC DAP akan diadakan pada 16 Mac.
Noor menarik perhatian kepada laporan Sinar Harian semalam, yang melaporkan bekas Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago, sebagai berkata ada desakan daripada akar umbi dan juga beberapa pihak lain mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk DAP pilih orang lain sebagai pengerusi.
“Akhir kata, memadai saya berkata, ‘aku sedang berpuasa…’,” tambahnya.