Imigresen tumpas ‘doktor bedah kosmetik’ Vietnam

Imigresen tumpas ‘doktor bedah kosmetik’ Vietnam

Antara khidmat ditawar adalah mencantikkan hidung, kelopak mata, dan menegangkan muka pada harga RM1,000-RM15,000.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, berkata rakyat tempatan yang menjadi ejen diberi komisen sehingga 10% bagi mencari pelanggan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sembilan warga asing ditahan imigresen dalam serbuan dua unit kondominium di Desa Petaling dan Bukit Jalil, dipercayai menjalankan prosedur pembedahan kosmetik tanpa lesen didalangi doktor warga asing.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, berkata dalam serbuan pada 11 pagi tadi, pihaknya turut menahan dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan wanita disyaki ejen klinik berkenaan.

“Semua warga asing yang ditahan berasal dari Vietnam melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita. Semua mereka, termasuk dua warga tempatan itu dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi,” katanya menurut Bernama.

Serbuan itu turut disertai pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.

Wan Mohamed Saupee berkata, rakyat tempatan yang menjadi ejen diberi komisen antara lima hingga 10% daripada jumlah bayaran dikenakan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pembedahan di klinik berkenaan.

Antara perkhidmatan ditawar adalah bagi mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata, dan menegangkan muka.

Perkhidmatan pembedahan kosmetik itu ditawarkan pada harga antara RM1,000 sehingga RM15,000 menggunakan perkhidmatan ‘doktor’ lelaki dari Vietnam dipercayai tidak mempunyai lesen dan sijil menawarkan perkhidmatan itu di negara ini.

Perkhidmatan itu turut dipromosikan di aplikasi media sosial oleh ejen berkenaan yang memaklumkan pelanggan mereka terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.

Serbuan turut mendapati bilik utama di kedua-dua unit kondominium yang disewa pada harga RM2,600 sebulan itu dijadikan bilik bedah yang lengkap dengan pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan dipercayai diimport.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.