Politik wang ‘hantui’ Umno jika kembali sistem pemilihan lama, kata penganalisis

Politik wang ‘hantui’ Umno jika kembali sistem pemilihan lama, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata bantahan Umno Langkawi terhadap ura-ura ingin sistem pemilihan lama dikembalikan mempunyai asas sendiri.

pau
Pada 2013, Umno memperkenalkan kaedah pemilihan yang membenarkan kira-kira 150,000 perwakilan mengundi berbanding hanya 3,000 orang dipilih ke perhimpunan agung parti itu.
PETALING JAYA:
Kebimbangan berlakunya politik wang dan kemenangan tanpa integriti mungkin menjadi asas kepada bantahan terhadap ura-ura Umno ingin mengembalikan sistem pemilihan bagi jawatan tertinggi parti pusat, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata bantahan Umno Langkawi itu mempunyai asasnya memandangkan pemilihan jawatan bermula dari presiden sehingga ahli majlis kerja tertinggi hanya membabitkan 2,500 orang berbanding lebih 100,000 ahli ketika ini.

“Kalau lihat dari sejarah dahulu melalui sistem lama ini, 2,500 perwakilan Umno terbabit akan jadi tumpuan dan sasaran kepada sesetengah pemimpin yang berniat menang melalui kaedah tidak berintegriti seperti membeli undi atau politik wang.

“Selalunya juga berlaku serangan terhadap pemimpin tertentu melalui surat layang dibekalkan kepada perwakilan, ini mungkin asas bantahan,” katanya kepada FMT sambil mengakui kaedah kini lebih sesuai untuk membanteras politik wang.

Mazlan Ali.
Mazlan Ali.

“Namun Umno sebagai sebuah parti demokratik perlu diberi hak menggunakan sistem sesuai dalam konteks keperluannya.”

Semalam, Ketua Umno Langkawi Mohd Nazifuddin Najib berkata mereka menolak usaha mengembalikan sistem pemilihan lama yang dianggap tidak relevan dengan realiti politik semasa, malah bercanggah prinsip demokrasi dan keterbukaan diperjuangkan parti.

Pada 23 Jan lalu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin dalam hantaran di Facebook berkata parti itu sedang mempertimbang beberapa perkara termasuk kaedah pemilihan pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian Umno tidak menjelaskannya secara lanjut.

Presiden Umno Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu dipetik berkata parti itu terbuka meneliti cadangan mengubah sistem pemilihannya termasuk kembali kepada kaedah lama membabitkan jawatan tertinggi peringkat pusat.

Kenyataannya itu menyusul laporan media berhubung cadangan supaya Umno kembali kepada sistem lama pemilihan parti iaitu terhad kepada perwakilan dipilih bukan lagi babit akar umbi yang diubah sedekad lalu.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Pada 2013, Umno memperkenalkan kaedah pemilihan membenarkan kira-kira 150,000 perwakilan mengundi berbanding hanya 3,000 orang dipilih ke perhimpunan agung parti itu.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan turut senada dengan Mazlan berhubung risiko berlakunya politik wang jika pemilihan hanya membabitkan sejumlah kecil perwakilan.

“Bahaya kalau terhad 2,500 ke 3,000 perwakilan sahaja, sebab itu pemilihan sistem lama tak sesuai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.