Letupan Sungai Golok: Polis perketat kawalan sempadan Malaysia, kata KPN

Letupan Sungai Golok: Polis perketat kawalan sempadan Malaysia, kata KPN

Razarudin Husain berkata polis sedang memantau keselamatan pos dan petugas secara 24 jam sebagai langkah keselamatan tambahan.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand dikuatkuasakan serta merta sehingga situasi disah selamat.
PETALING JAYA:
Polis memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom di Pekan Sungai Golok, selatan Thailand.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat dan kawalan ketat telah dikuatkuasakan serta-merta sehingga situasi disahkan selamat.

Beliau berkata, operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperketat kawalan di pos PGA serta sepanjang Sungai Golok bagi mencegah kemasukan elemen tidak diingini ke Malaysia.

“Selain itu, pasukan Strike Force Kompeni dan Risik Batalion turut diarahkan mempergiat rondaan di pangkalan haram serta kawasan ‘hotspot’ di sepanjang Sungai Golok,” katanya kepada Bernama.

Razarudin menegaskan polis sedang memantau keselamatan pos dan petugas secara 24 jam sebagai langkah keselamatan tambahan.

Beliau berkata, insiden letupan bom di hadapan stadium Pekan Sungai Golok itu berlaku kira-kira 6.25 petang semalam (waktu tempatan Thailand) selepas waktu berbuka puasa.

“Sehingga kini, jumlah kematian dan kecederaan akibat kejadian berkenaan masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Selain itu, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand ekoran insiden berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok.

Polis Thailand sebelum ini menyatakan berlaku letupan di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok di Jalan Sungai Golok-Sungai Padi, dan beberapa tembakan telah dilepaskan oleh sekumpulan penyerang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Thailand maut, manakala lapan lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.