Kedai serbaneka pecat pekerja simbah air panas pada anjing

Kedai serbaneka pecat pekerja simbah air panas pada anjing

KK Super Mart mengesahkan kejadian itu berlaku di cawangan kedai serbanekanya.

aniaya anjing
Rakaman CCTV tular menunjukkan seekor anjing berlegar di luar sebuah kedai serbaneka yang didakwa disimbah air panas oleh kakitangan premis itu.
PETALING JAYA:
Kakitangan sebuah kedai serbaneka yang didakwa menyimbah air panas ke atas seekor anjing berlegar di luar premis di Jalan Besar, Menglembu, Ipoh sudah ditamatkan kontrak serta-merta selepas siasatan dalaman dijalankan.

KK Super Mart mengesahkan insiden itu berlaku di cawangan kedai serbanekanya.

“Kakitangan itu dipanggil semula ke ibu pejabat dan setelah semakan dibuat, kontraknya ditamatkan serta-merta. Kami menyedari insiden ini dan mengambil perkara ini dengan sangat serius.

“Di KK Super Mart, kami dengan tegas mengecam sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan tidak bertolak ansur dengan tindakan sedemikian.

“Kami juga sudah menghubungi pemilik pusat penjagaan haiwan dan bersedia menanggung kos rawatan perubatan haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial sejak semalam menunjukkan seorang individu mengambil air panas di mesin pemanas air premis itu menggunakan cawan sebelum menyimbah ke anjing berkenaan.

Rakaman itu memaparkan kejadian berkenaan disaksikan beberapa individu dipercayai pekerja premis sama yang memakai uniform sama seperti pelaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Ipoh, Mohamad Sajidan Abdul Sukor dipetik Berita Harian berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.