
Berusia 74 tahun dan mewakili Pasir Gudang sejak 2018, Hassan yang pernah mengetuai PKR Johor juga mahu memberi peluang kepada pemimpin muda dalam parti untuk menggantikannya.
Menurutnya, sebelum ini beliau telah mengumumkan secara terbuka tidak bertanding dalam pemilihan PKR.
“Tetapi bukan itu sahaja, saya mengulangi lagi pengumuman sebelum ini, saya tidak akan bertanding dalam PRU16,” katanya berucap pada majlis mesyuarat agung tahunan PKR Pasir Gudang.
Mengimbau semula usaha memperkukuhkan PKR Pasir Gudang seperti sekarang, Hassan mengakui perjuangan itu bukan mudah dan banyak kekalahan telah dilalui selain pengorbanan anggota serta pimpinan sejak awal.
“Parlimen P159 Pasir Gudang wujud bermula dalam PRU 2004, PKR bertanding dan kalah. PRU berikutnya 2008 dan 2013 pun tanding dan menghadapi kekalahan juga.
“Tetapi anggota, penyokong serta pimpinan PKR Pasir Gudang serta ribuan penyokong tidak kenal putus asa, maka dalam pilihan raya berikutnya pada 2018 dan 2022…PKR telah menang.
“Kemenangan itu telah menolong PKR membentuk (jadi sebahagian) kerajaan persekutuan pada 2018 dan 2022,” katanya.
Hassan sering dilihat sebagai pengkritik pentadbiran Putrajaya diketuai Presiden PKR Anwar Ibrahim yang lantang walaupun beliau duduk di blok kerajaan.
Beliau sebelum ini memberitahu FMT, Anwar memberi restu dan memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menulis apa sahaja kecuali jangan mengkritik raja.
November lalu, ahli veteran PKR yang lantang bersuara itu dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti susulan aduan beliau merosakkan imej parti kerana kenyataan terbukanya mengkritik kerajaan dalam penganugerahan rangkaian 5G kedua negara.