BN tiada masalah cari calon PRK Ayer Kuning, kata Zambry

BN tiada masalah cari calon PRK Ayer Kuning, kata Zambry

Setiausaha agung BN itu berkata beberapa calon berpotensi sudah disenarai pendek dan akan dinilai sewajarnya.

Zambry Abd Kadir
Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abd Kadir berkata terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk Dun Ayer Kuning.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir berkata BN tiada masalah untuk mencari calon yang sesuai bagi mewakili parti itu dalam PRK PRK Dun Ayer Kuning pada April ini.

Zambry berkata beberapa calon berpotensi sudah disenarai pendek dan akan dinilai sewajarnya oleh Pengerusi BN Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang juga pengerusi BN negeri, lapor Bernama.

“Pada asasnya BN tidak mempunyai masalah dari segi mencari calon yang sesuai kerana terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk Dun Ayer Kuning,” katanya di majlis Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Zambry yang juga menteri pengajian tinggi berkata BN tidak mengecualikan sesiapa dalam pemilihan calon termasuk dari golongan wanita, belia atau ahli jawatankuasa bahagian.

“Kita mahukan calon yang benar-benar boleh menyumbang sebagaimana calon sebelum ini yang telah menunjukkan prestasi yang berkesan,” katanya.

PRK itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Adun Umno Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, 58, mewakili DUN Ayer Kuning sejak 2022, selepas menang dalam persaingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.

Pada 7 Mac lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.