Syed Saddiq bakal terima peruntukan wakil rakyat, kata Fadillah

Syed Saddiq bakal terima peruntukan wakil rakyat, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata peruntukan untuk Ahli Parlimen Muar itu akan diberikan selepas draf perjanjian dimuktamadkan.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara prinsip setuju beberapa syarat ditetapkan bagi menerima peruntukan untuk kawasannya, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Draf perjanjian antara Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan kerajaan bagi membolehkan bekas menteri belia dan sukan itu menerima peruntukan untuk kawasannya kini dalam fasa akhir.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Syed Saddiq secara prinsip bersetuju dengan beberapa syarat ditetapkan dan dijangka menerima peruntukan untuk kawasannya selepas draf itu dimuktamadkan.

“Insya-Allah selesai (draf perjanjian) Syed Saddiq (bakal terima peruntukan) kerana hanya beliau saja beri maklum balas dan mengemukakan surat rasmi,” katanya dalam satu majlis di Kuching, menurut Berita Harian.

Baru-baru ini, ketika sidang Dewan Rakyat, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan dana untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Beliau berkata, ia susulan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan belum menemui hasil selepas Perikatan Nasional (PN) yang mengetuai blok pembangkang mengumumkan menolak draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pada September tahun lalu.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan juga sedang menunggu maklum balas pembangkang bagi menyediakan surat cadangan untuk diteliti bagi menubuhkan jawatankuasa peringkat kerajaan dan juga pembangkang.

“Tetapi setakat ini pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.