Pemilihan PKR: Rodziah umum tanding jawatan Isnin ini

Pemilihan PKR: Rodziah umum tanding jawatan Isnin ini

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail sebelum ini pertimbang tanding jawatan ketua Wanita PKR.

Rodziah Ismail
Rodziah Ismail sebelum ini berkata beliau mahu memberi nafas baru kepada sayap Wanita PKR yang didakwa semakin lesu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail berkata beliau akan membuat pengumuman Isnin ini berhubung jawatan bakal ditandingginya pada pemilihan parti Mei depan.

“Insya-Allah pada 10 Mac ini, akan diumumkan jawatan apa yang akan dipertandingkan pada program berbuka puasa dan Hari Wanita di Parlimen Ampang di Grand Barakah Hotel,” kata bekas exco Selangor itu dalam kenyataan.

Pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Ampang itu berkata beliau sedang mempertimbang bertanding jawatan ketua Wanita PKR, yang mungkin menyaksikannya kembali bertembung dengan penyandang Fadhlina Sidek.

Tewas tipis kepada Fadhlina pada pemilihan 2022, Rodziah juga menegaskan beliau tidak mengintai jawatan menteri jika bertanding jawatan ketua Wanita PKR tetapi ingin memberi nafas baru terhadap sayap terbabit yang didakwa semakin lesu.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal adalah menteri pendidikan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Menurut Rodziah, sejak penghujung tahun lalu ramai ahli parti meminta beliau kembali dalam saf pimpinan sayap terbabit.

Pada pemilihan 2022, Fadhlina yang memperoleh 18,923 undi diumumkan secara rasmi sebagai ketua Wanita PKR menewaskan Rodziah dengan 18,891 undi.

Bagaimanapun, sebelum Jawatankuasa Pemilihan Pusat mengumumkan keputusan itu, kiraan awal menunjukkan Rodziah menang jawatan terbabit, malah Fadhlina turut dilaporkan mengucapkan tahniah kepadanya.

PKR dijadual mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April.

Pemilihan bagi kepimpinan pusat berlangsung pada 24 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.