Naimah mohon tangguh prosiding permohonan rujukan 12 Mac

Naimah mohon tangguh prosiding permohonan rujukan 12 Mac

Balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin memohon pengurusan kes diadakan selepas 18 Mac ini kerana peguamnya terbabit kes lain.

Naimah Abdul Khalid
Pada 23 Jan 2024, Naimah Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset di bawah Akta SPRM 2009. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Mac ini untuk mendengar permohonan rujukan Naimah Khalid yang mahu mahkamah menggunakan kuasanya menyemak keengganan mahkamah lebih rendah merujuk persoalan undang-undang berhubung tuduhan dihadapinya.

Tetapi, firma Raj & Sach yang mewakili balu bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin menghantar surat kepada setiausaha Hakim K Muniandy untuk menetapkan tarikh pengurusan kes selepas 18 Mac ini kerana peguam mereka akan terbabit kes lain minggu depan.

Dalam surat dilihat FMT, mereka berkata, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal daripada pasukan peguam Naimah akan terbabit perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan pada 12 Mac ini.

Mereka berkata, tarikh perbicaraan kes itu tidak boleh ditangguhkan.

Peguam Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au yang turut akan mengendalikan kes itu, juga terbabit satu lagi permohonan semakan pada 12 Mac.

“Perbicaraan 12 Mac ditetapkan dengan notis terlalu singkat. Kami juga tidak dapat membuat persiapan diperlukan untuk permohonan semakan,” kata mereka.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata mereka akan membantah penangguhan itu.

“Timbalan pendakwa raya (TPR) kami mempunyai kes lain untuk dikendalikan dan kebanyakan mereka akan bercuti untuk Hari Raya Aidilfitri selepas 18 Mac ini,” kata Wan Shaharuddin yang juga TPR kepada FMT.

Naimah memfailkan permohonan semakan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC), dibaca bersama Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada 5 Mac lalu.

Keesokannya, mahkamah memaklumkan pihak mengenai tarikh perbicaraan.

Di bawah Seksyen 323 CPC, hakim Mahkamah Tinggi boleh memanggil dan memeriksa rekod mana-mana prosiding di mahkamah jenayah rendah untuk memuaskan dirinya berhubung ketepatan, kesahihan atau kewajaran mana-mana dapatan, hukuman atau perintah direkodkan.

Mahkamah Sesyen pada 18 Feb lalu menolak permohonan Naimah atas alasan tiada merit. Hakim Azura Alwi memutuskan tiada isu Perlembagaan berbangkit dalam kes itu.

Tahun lalu, Naimah memohon untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa permohonan adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah kerana Naimah tidak didakwa mengikut Seksyen 32 Amla.

Azura dilaporkan berkata, Seksyen 30 dan 36 Akta SPRM adalah peruntukan bagi siasatan, dengan rekod Parlimen (hansard) menunjukkan ia digubal untuk membantu siasatan rasuah.

Beliau menetapkan perbicaraan itu berlangsung dari 19 hingga 21 Nov, 21 hingga 23 Jan dan 3 hingga 5 Feb 2026.

Pada 23 Jan tahun lalu, Naimah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset di bawah Akta SPRM.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan beberapa syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan Pulau Pinang serta dua kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.