
Naib Presiden G Parameswaran berpendapat, ketiadaan bukti rakaman yang jelas mencerminkan kelemahan besar dalam aspek keselamatan kerana Kementerian Kewangan merupakan antara pejabat terpenting negara.
Menurutnya, kes kematian seorang pegawai di dalam ruang pejabat kerajaan dalam keadaan tragis Isnin lepas mencetuskan kebimbangan rakyat, mengingatkan mereka pada kematian Teoh Beng Hock pada 2009, yang juga berlaku di premis kerajaan.
“Penjelasan diberikan pihak polis mengenai siasatan kes kematian yang berlaku di pejabat Kementerian Kewangan amat meragukan dan tidak boleh diterima rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memaklumkan, hasil bedah siasat mendedahkan, punca kematian pegawai itu ialah tekanan pada bahagian leher disebabkan jerutan.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia antara 9 malam pada 3 Mac hingga 8 pagi keesokannya, sebelum mayatnya ditemukan terbaring di lantai dengan leher dan kaki terjerut menggunakan pengikat kabel.
Rusdi memaklumkan, pihaknya turut memperoleh rakaman CCTV di lokasi kejadian tetapi paparan itu hanya menunjukkan pergerakan mangsa ke pejabatnya, bukan ketika kejadian.
Pegawai terbabit bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal rayuan kastam di Kementerian Kewangan.
Justeru, Parameswaran mencadangkan kerajaan menubuhkan pasukan penyiasat bebas terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang bagi memastikan siasatan lebih adil.
“Dengan adanya badan siasatan bebas, proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan adil, sekaligus mengelakkan keraguan terhadap ketelusan siasatan dalaman pihak berkuasa,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa kawalan keselamatan di semua pejabat kerajaan dikaji semula terutama pemasangan dan penyelenggaraan sistem pemantauan seperti CCTV.
“Kerajaan juga perlu mendedahkan laporan siasatan kepada umum bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap integriti dan ketelusan pemerintah terus terpelihara,” katanya.