
Bendaharinya, Salleh Said Keruak menegaskan komitmen BN Sabah terhadap kestabilan politik dan tadbir urus demi manfaat rakyat Sabah.
“Pendirian ini telah dinyatakan secara terbuka oleh Presiden Umno, Zahid Hamidi dan ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.
“Pada masa sama, kami mengakui kepentingan mengadakan libat urus dengan parti tempatan untuk memastikan gabungan kuat dan padu di negeri ini,” katanya kepada FMT.
November lalu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata, gabungannya akan membentuk pakatan teras dengan PH untuk PRN Sabah. Kerjasama itu turut terbuka kepada gabungan dan parti lain.
Ia disusuli pertemuan tidak rasmi pemimpin BN dan PH Sabah di Kota Kinabalu, di mana mereka mengeluarkan kenyataan bersama bersetuju memupuk semangat perpaduan sejajar persefahaman sedia ada antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Zahid.
BN dan Gabungan Rakyat Sabah sebelum ini berkata, mereka akan bekerjasama dengan PH pada PRN akan datang, yang perlu diadakan sebelum Disember ini.
Salleh berkata, sebarang pakatan politik perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau politik.
“Ini sebabnya kita perlu menekankan ‘Suka Sama Rakyat’ – pakatan kita harus mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat Sabah, bukannya sekadar ‘Suka Sama Suka’ atau kesenangan politik,” katanya sambil menambah rakyat mahu kerajaan yang stabil dan berkesan.
Adun Usukan itu berkata, perbincangan sedang diadakan bagi memastikan BN-PH dan rakan tempatan bekerjasama untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan peluang lebih baik di Sabah.
“BN Sabah akan mengadakan libat urus dengan rakan-rakan sehaluan yang berkongsi visi kami untuk Sabah lebih kuat dan maju.”