‘Segerakan projek air Papar’, Armizan beri amaran kepada GLC

‘Segerakan projek air Papar’, Armizan beri amaran kepada GLC

Ahli Parlimen Papar itu berkata projek 'water intake' kedua itu masih belum bermula biarpun peruntukannya telah diumumkan tahun lalu.

DATUK-ARMIZAN
Armizan Mohd Ali menegaskan penyiapan projek itu amat penting bagi penduduk Papar yang sering mengalami krisis air teruk termasuk pada Ramadan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali memberi amaran kepada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang dianugerahkan projek membina ‘water intake’ kedua di Kg Kabang, di sepanjang Sungai Papar untuk menyegerakan pelaksanaannya.

Beliau kesal apabila projek terbabit masih belum dimulakan biarpun Ketua Menteri Hajiji Noor telah mengumumkan peruntukannya tahun lalu.

Armizan menegaskan projek itu amat penting bagi menangani isu kekeruhan air yang teruk di tapak pengambilan sedia ada.

“Malangnya, sehingga hari ini, projek itu masih belum dimulakan… selepas saya membuat bising, Kementerian Kewangan Negeri menyelesaikan isu itu dengan melantik GLC untuk melaksanakan projek itu.

“Namun, saya menerima maklum balas bahawa kerja masih belum dimulakan. Oleh itu, saya menggesa GLC Negeri yang berkenaan, memandangkan andalah yang mahukan projek ini, selesaikan sebelum saya hilang sabar. Ini adalah projek penting untuk penduduk Papar.

“Pada pandangan saya, projek ini tidaklah rumit seperti projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kogopon. Saya akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan ia siap,” katanya, menurut Daily Express.

Armizan mengulas isu air yang berterusan di Papar dan notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Air Negeri mengenai kemungkinan berlaku kekurangan air pada awal Ramadan hingga awal April 2025.

Pada 20 Mac tahun lepas, Hajiji mengarahkan Jabatan Air dan GLC Negeri membina projek itu untuk menyalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kg Limbahau.

Ia dicadangkan di Kg Kabang yang terletak lebih jauh di hulu Sungai Papar untuk mengelakkan kadar kemasinan yang tinggi berulang hingga memaksa LRA EWSS ditutup sepenuhnya.

Ketika melawat LRA EWSS Limbahau, Hajiji dilaporkan berkata cadangan projek itu akan menjadi penyelesaian kepada isu kadar kemasinan yang tinggi di Kg Limbahau.

Selain itu, Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata terdapat isu di Sungai Papar, Limbahau dengan tahap kemasinan yang tinggi, atau kekeruhan dari hulu sungai akibat hujan, menyebabkan air keruh di saluran pertama.

“Sekiranya projek water intake kedua siap dan beroperasi, maka ia boleh bertukar kepada saluran kedua.. Sebab itu penyiapan projek ini sangat penting,” katanya.

Tahun lalu, Papar menghadapi krisis air yang teruk termasuk pada Ramadan, yang menyebabkan sebahagian besar penduduk terjejas.

Armizan berjanji untuk mencari penyelesaian segera, memandangkan bekalan air yang ada di daerah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Katanya, Papar memerlukan sehingga 92 juta liter sehari (JLH), namun bekalan air yang ada hanya 62 JLH dan isu air diburukkan lagi dengan kehilangan air tidak terhasil (NRW) akibat paip bocor dan faktor lain.

“Saya sangat tegas dalam isu air di sini kerana saya mendapat mandat daripada penduduk Papar pada 2022, yang meletakkan harapan mereka kepada saya untuk menyelesaikan isu air yang berlarutan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.