
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata ia berdasarkan hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya.
Bagaimanapun katanya, polis sedang mengenal pasti lokasi individu terbabit.
“Berdasarkan laporan, video berkenaan telah dimuat naik pada 5 Mac (kelmarin) dan dipercayai dipadamkan selepas menerima kecaman orang ramai.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan, namun kita percaya dia berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Media semalam melaporkan polis sedang memburu pemilik Facebook menggunakan nama ‘Vijayan Savarinathan’ kerana disyaki memuat naik video yang menghina agama dan umat Islam.
Razarudin dipetik berkata, ia susulan laporan dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Pahang, kelmarin, susulan video itu yang didakwa menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.
Susulan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.