
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, Khaled berkata, ATM menjalankan program secara tetap untuk menarik lebih ramai belia mempertahankan negara.
Selain acara promosi di sekolah dan pusat beli-belah, katanya, pihak tentera turut mengambil bahagian dalam pameran kerjaya di seluruh Malaysia.
Menurutnya, terdapat 1,670 orang India atau 1.4% daripada keseluruhan kekuatan anggota ATM setakat 31 Dis lalu.
“Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian etnik dalam ATM yang memainkan peranan signifikan bagi memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional kepada pasukan keselamatan negara,” katanya menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung penyertaan kaum India dalam angkatan tentera darat, laut dan udara.
Pada 12 Jan lalu, 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melaporkan diri untuk menyertai PLKN 3.0 yang diperkenalkan semula selepas tujuh tahun dimansuhkan.
Khaled sebelum ini berkata, PLKN 3.0 akan memfokuskan kedaulatan negara dan disiplin mental. Ia juga akan mempunyai program latihan ketenteraan ringan dan pembelajaran berstruktur yang disesuaikan dengan peserta berdasarkan umur mereka.
Program yang akan diadakan di kem tentera, universiti dan politeknik itu bertujuan menerapkan nilai seperti disiplin dan patriotisme.
Pada 2023, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, anggota bukan Bumiputera ATM kurang daripada 3%, walaupun pelbagai usaha menggalakkan penyertaan kumpulan itu seperti jerayawara dan promosi diadakan.
Menurutnya, kerja keras, gaji rendah, waktu kerja tidak tetap dan tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga pada musim perayaan menyumbang kepada jumlah itu.