Kes rasuah wartawan: Nantha ‘buka mulut’ selepas disiasat SPRM

Kes rasuah wartawan: Nantha ‘buka mulut’ selepas disiasat SPRM

Wartawan Malaysiakini nafi dakwaan minta rasuah daripada ejen pekerja asing.

B Nantha Kumar
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar direman empat hari berikutan penahanannya pada 28 Feb. (Gambar Malaysiakini)
PETALING JAYA:
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar menegaskan beliau tidak pernah meminta rasuah daripada ejen pekerja asing atau mengaut keuntungan daripada artikel ditulisnya mendedahkan sindiket penyeludupan pekerja asing.

Nantha dibebaskan pada Selasa, selepas direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat hari.

Beliau disiasat kerana didakwa meminta dan menerima rasuah daripada ejen pekerja asing, kononnya supaya tidak menerbitkan dua artikel yang mendedahkan sindiket pekerja asing.

Menceritakan kejadian yang membawa kepada penahanannya Jumaat lepas, Nantha menafikan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa beliau meminta rasuah RM100,000, yang kemudian dirundingkan sehingga RM20,000, daripada seorang ejen pekerja asing.

Malaysiakini melaporkan Nantha berkata, salah seorang ejen Pakistan yang disebut dalam artikel itu menghubunginya untuk menafikan penglibatan dalam sindiket pekerja asing.

Katanya, beliau kemudian bertemu dengan dua ejen Pakistan itu, dan ditawarkan RM50,000 untuk ‘selesai’, tetapi beliau menolak.

Susulan itu, katanya, beliau segera berjumpa pengarah imigresen negeri untuk membincangkan perkara itu, tetapi pengarah itu tidak dapat mengambil tindakan kerana kekurangan bukti.

Menurutnya, pengarah itu memintanya berhubung dengan ejen itu sekali lagi untuk membantu mengumpul bukti lebih kukuh, lalu beliau bersetuju untuk menjadi ‘ejen penyamaran’.

Nantha berkata, beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada pegawai atasannya di Malaysiakini kerana bimbang mereka akan menghalangnya.

“Saya lakukan ini kerana saya percaya, sebagai wartawan penyiasatan, seseorang mesti bersedia mengambil tindakan tertentu untuk mendedahkan kebenaran. Sebelum ini, terdapat kes editor menolak cadangan saya kerana menganggapnya terlalu berisiko,” katanya.

Nantha berkata, ejen Pakistan sama yang disebut dalam artikel itu menghubunginya pada Khamis lepas, meminta untuk bertemu semula, dan pertemuan diatur di sebuah hotel di Shah Alam keesokan harinya.

Katanya, beliau memaklumkan kepada pengarah imigresen negeri tentang pertemuan itu, dan berjanji akan menyerahkan sebarang bukti kepadanya.

“Saya juga beritahunya, jika saya dituduh melakukan apa-apa, dia perlu menyokong saya. Dia beri jaminan bahawa dia akan melakukannya,” katanya.

Nantha berkata, beliau memilih untuk bertemu ejen itu di hotel kerana sedang membuat liputan acara melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di hotel sama.

Beliau juga berkata, hotel itu merupakan kawasan terbuka, dengan banyak kamera CCTV yang boleh memberikan bukti penting untuk Jabatan Imigresen ambil tindakan.

Pada pertemuan itu, katanya, ejen itu meminta agar artikel mengenainya dipadam, namun Nantha, yang tidak mempunyai kuasa memadam artikel diterbitkan oleh Malaysiakini, menolak.

Nantha berkata, beliau kemudian berpura-pura berminat untuk ‘bekerjasama’.

“(Saya) cuba memujuknya agar berikan sesuatu yang boleh saya serahkan sebagai bukti. Sebaliknya, dia serahkan satu sampul surat, yang saya percaya mengandungi wang, sebagai rasuah.

“Terkejut dengan tindakan itu, saya ambilnya sebagai bukti untuk diserahkan kepada pengarah imigresen negeri yang saya sebutkan sebelum ini.

“Dalam beberapa saat, lebih sedozen pegawai SPRM menahan saya,” katanya.

Katanya, sejak menulis artikel pertama mengenai sindiket itu pada 19 Feb, beliau tidak pernah menghubungi mana-mana ejen untuk meminta rasuah.

Jika ingin mengaut keuntungan daripada artikel itu, katanya, beliau boleh sahaja meminta sejumlah wang yang besar daripada ‘dalang’ sindiket itu, sebelum artikel pertama diterbitkan.

Beliau turut menyebut keputusannya memilih untuk bertemu di sebuah hotel penuh kamera pengawasan, pada hari perdana menteri mengadakan acara di sana.

“Jika saya mempunyai niat untuk terima rasuah, saya tidak akan pilih lokasi yang begitu terkenal,” katanya.

Dalam nota editor bersama pendedahan itu, Malaysiakini menyifatkan Nantha sebagai wartawan cemerlang yang menghasilkan banyak laporan eksklusif ‘berani’, termasuk berkaitan sindiket pekerja asing yang membantu mendedahkan isu-isu penting.

Malaysiakini juga berkata, pihaknya telah menubuhkan panel bebas pakar untuk menyiasat kebenaran dalam perkara ini, dan hasil siasatan akan diumumkan, tertakluk pada panduan undang-undang.

Sementera menunggu hasil siasatan tersebut, portal berita itu  menggantung tugas Nantha dengan faedah penuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.