
Zahid mengingatkan pemberita tentang kesnya yang akhirnya menyaksikan beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram.
“Apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak melemparkan tuduhan dan sebagainya, akhirnya keadilan dapat ditegakkan.
“Saya harap perkara sama akan berlaku di mahkamah (dalam kes Ismail),” katanya lapor Berita Harian.
Zahid pada 4 Sept 2023 dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, selepas 77 hari dibicarakan.
Semalam, Umno menegaskan ia tidak mempunyai kaitan dengan penemuan dan siasatan SPRM terhadap Ismail.
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki kata Umno memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan siasatan yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.
Katanya, Umno berpendirian SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
Ismail yang juga bekas perdana menteri berdepan siasatan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kata Ismail dipanggil atas kapasiti sebagai suspek dan bukan saksi bagi kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM.
Ahli Parlimen Bera itu kali pertama dipanggil pada 19 Feb, telah mengisytiharkan aset yang menjadi sebahagian siasatan atas perbelanjaan dana untuk tujuan promosi dan publisiti ketika menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.