Hanya corak kepimpinan berbeza, Juwairiya tolak dakwaan Wanita PKR makin lesu

Hanya corak kepimpinan berbeza, Juwairiya tolak dakwaan Wanita PKR makin lesu

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail pertimbang tanding jawatan ketua Wanita PKR untuk beri nafas baharu kepada sayap itu yang didakwanya semakin lesu.

Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli tidak menafikan sayap itu mempunyai kekurangan dan boleh ditambah baik.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Wanita PKR mempertahankan gerak kerja barisan kepimpinan sedia ada susulan dakwaan sayap itu semakin lesu selepas diterajui Fadhlina Sidek.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli, berkata isu sayap itu lesu tidak timbul kerana setiap individu mempunyai corak kepimpinan berbeza dan tidak adil membandingkannya dengan kepimpinan terdahulu.

Katanya, bawah kepimpinan semasa pelbagai aktiviti dan program diadakan termasuk di peringkat akar umbi selaras PKR sebagai parti pemerintah.

“Tidak timbul soal Wanita PKR lesu, sebaliknya corak kepimpinan saja berbeza.

“Setiap pemimpin ada cara kepimpinan masing-masing, di bawah kepimpinan hari ini, aktivisme parti tetap berjalan dengan pelbagai aktiviti, namun mungkin tidak sama ‘vibes’ dan rentaknya seperti kepimpinan terdahulu.

“Persepsi (wanita lesu) tersebut timbul kerana membandingkan gerakan dan aktivisme Wanita PKR dengan susuk pemimpin (tertentu) yang jauh berpengalaman dalam jatuh bangun parti sejak awal serta amat dekat dengan anggota Wanita akar umbi,” katanya kepada FMT.

Tetapi, beliau tidak menafikan Wanita PKR bawah kepimpinan semasa ada kekurangan dan boleh ditambah baik.

“Gerak kerja kepimpinan ini boleh ditambah baik, sama ada yang sekarang mahupun yang bakal menawarkan diri. Malah bawah kepimpinan hari ini, keanggotaan Wanita tetap meningkat, walaupun agak perlahan.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, mempertimbangkan bertanding jawatan ketua Wanita PKR untuk memberi nafas baharu kepada sayap itu yang didakwanya semakin lesu.

Sementara itu, Juwairiya yang juga bekas Adun Bukit Melawati tidak menolak kemungkinan mempertahankan jawatan timbalan ketua Wanita PKR pada pemilihan Mei ini.

Pada pemilihan terdahulu, Juwairiya memenangi jawatan itu dalam saingan tiga penjuru dengan Napsiah Khamis dan Faizah Ariffin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.