Tubuh suruhanjaya keharmonian, NGO gesa susulan kontroversi babit hos Era FM

Tubuh suruhanjaya keharmonian, NGO gesa susulan kontroversi babit hos Era FM

Pusat Komas kata tindakan undang-undang tidak tangani punca pokok berlakunya kejadian seperti itu.

malaysian malaysia multiracial
Pusat Komas berkata wujud keperluan mendesak untuk menubuhkan suatu suruhanjaya keharmonian nasional. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pertubuhan hak asasi manusia menggesa kerajaan pertimbang penubuhan suatu suruhanjaya keharmonian nasional bagi memperkukuh perpaduan, susulan video dikatakan mempersenda upacara Thaipusam kavadi membabitkan penyampai radio Era FM.

Pusat Komas berkata wujud keperluan mendesak untuk menubuhkan badan itu memandangkan insiden seumpama bukan luar biasa malah berlaku berkali-kali membabitkan tokoh awam, personaliti media dan ahli politik.

Menurutnya, tindakan undang-undang hanya berfungsi sebagai langkah pencegahan dan tidak menangani punca pokok berlakunya kejadian seperti itu.

“Kekurangan usaha sistemik dalam memupuk persefahaman antara satu sama lain serta tindak balas perundangan dalam kes-kes tertentu berdasarkan kemarahan orang ramai tidak mampu mencegah insiden yang sama daripada berulang,” katanya.

Tambahnya, suruhanjaya itu penting sebagai penasihat kerajaan dengan menyediakan penyelesaian konsisten dalam menangani konflik antara komuniti.

“Pada masa sama, turut dapat memastikan langkah-langkah untuk mendidik dan memulih diutamakan berbanding tindakan bersifat menghukum,” katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerahkan notis niat bagi penggantungan lesen kepada stesen radio Era FM, semalam.

SKMM memaklumkan pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Pada Selasa, polis memaklumkan kakitangan stesen radio itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.