
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata pihaknya juga tidak menolak RUU itu sebaliknya memilih berkecuali dengan tidak mengundi.
“Apabila kita di pihak pembangkang…berkecuali bukan bermakna kita tolak. Ada perbezaan di sini (kerana) tidak undi bermakna berkecuali.
“Saya ingin jelaskan bila berkecuali (sebab) nak dapatkan ketegasan undang-undang dibawa dalam Parlimen biar sesuatu (yang) jelas. Masalah kita tak jelas (RUU itu) dan banyak kelompangan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Selasa lalu, kerajaan berjaya meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan memberi laluan kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata berdasarkan undi berbelah bahagi, dua pertiga ahli Dewan Rakyat bersetuju iaitu seramai 148. Manakala 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.
Sementara itu, Hamzah berkata kerajaan hanya bernasib baik dalam proses kelulusan RUU tersebut.
Katanya, 148 Ahli Parlimen yang menerima pindaan itu menunjukkan kerajaan hanya mempunyai undi ‘cukup-cukup makan’ untuk meluluskan pindaan berkenaan.
Menurutnya, pembangkang meminta RUU itu ditangguh antaranya kerana berasa janggal berhubung soal kedudukan Yang di-Pertuan Agong di dalam RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 nanti.
“Sebab itu minta ditangguh bukan tak sokong. Perlu berlaku adil. Proses secara adil dengan tubuh jawatankuasa dan bincang semua pihak,” katanya.