
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata iklan itu menunjukkan video laporan berita mengenai skim pelaburan yang terbuka untuk rakyat Malaysia.
Katanya, skim itu kononnya diperkenalkan oleh Musk dan orang ramai boleh membuat pelaburan serendah RM1,200 dan memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 sebulan.
“Antara lain, skim pelaburan tersebut didakwa telah diluluskan oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, kita yakin, video yang memaparkan dua individu itu adalah palsu dan dihasilkan melalui teknologi ‘deepfake” bagi mengelirukan mangsa.
“Semakan lanjut mendapati, pautan yang disertakan pada iklan skim pelaburan tersebut akan membawa pengguna ke satu lagi laman Facebook lain,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.
Katanya, menurut keterangan di laman tersebut, skim pelaburan yang ditawarkan adalah menggunakan platform ‘Quantum AI’.
“Sesiapa sahaja boleh menyertai pelaburan tersebut walaupun tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan pelaburan.
“Orang ramai yang berminat akan diminta mengisikan nama, emel dan nombor telefon di ruangan yang disediakan dan pihak penganjur pelaburan akan menghubungi mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya lagi, taktik memaparkan iklan melalui laman sosial, memanipulasi video individu terkenal adalah untuk memperdayakan mangsa.
“Mangsa akan meninggalkan nama serta nombor telefon dan seterusnya sindiket menghubungi individu berkenaan untuk menerangkan perihal pelaburan.
“Ia merupakan modus operandi yang lazim digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan,” katanya.