
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata dakwaan kerajaan bersikap berat sebelah adalah usaha jahat diwujudkan sesetengah pihak berkepentingan yang cuba menanam persepsi itu dalam kalangan masyarakat.
“Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali. Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Beliau berkata, antara contoh tindakan telah diambil kerajaan membabitkan isu mempersenda kalimah Allah melalui penjualan stokin, di mana syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000.
Katanya, selain itu seorang lelaki yang mempersenda perkataan Allah didenda RM12,000 dan dipenjara enam bulan manakala peniaga jagung bakar meletak notis perkauman didenda RM400.
“(Manakala pelawak) Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000,” katanya.
Tunku Nashrul berkata, tuduhan dan persepsi konon kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina juga adalah fitnah dan tidak berasas.
Katanya, menerusi kes disenaraikan, ia menunjukkan semuanya disiasat dan didakwa berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara.
“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, kaum di mana-mana ruang di Malaysia. Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” katanya.
Menurutnya, Anwar beri peringatan kepada semua usah gunakan kesempatan ini untuk membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman serta menanam bibit kebencian.
Selasa lalu, polis memaklumkan tiga penyampai radio 3 Pagi Era FM disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia susulan kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Tiga penyampai radio itu meminta maaf dan video berkenaan juga diturunkan dalam platform media sosial stesen berkenaan.